Pelaburan besar hingga men­ce­cah puluhan ribu bukan peng­halang bagi mereka yang ingin memastikan kenderaan menjadi tumpuan setiap kali menyertai pertandingan dan sebagainya.

Bagi Nasir Mat Zain, 35, seorang mekanik dari Taman Bukit Indah, Johor Bahru, memilih konsep Motor GP, Veletino Rossi bagi bagi menghiasi kereta Proton Saga BLM sejak 2012.

Katanya, bukan sahaja luaran tetapi turut memberikan perhatian sistem audio, aksesori dan kemudahan lain bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Sebagai anak kelahiran Kedah, saya memilih warna hijau kuning iaitu warna bendera nege­ri saya dan setakat ini kecantikannya terserlah bila berada di atas jalan raya mahu pun semasa auto show.

“Setakat ini, saya membelanjakan kira-kira RM100,000 mencantikkan kereta ini yang telah memenangi pelbagai pertandi­ngan yang diadakan di seluruh negara,” katanya ditemui pemberita dalam Karnival Interaktif di Dataran Pontian di sini baru-baru ini.

Sebanyak 35 buah kereta menyertai pertandingan tersebut dengan pelbagai kategori antaranya melibatkan audio show, draft, spint dan drift.

Peserta lain, Leck Reneis Mo­hd. Ali atau Alexs, 43, dari Pasir Gudang, menggunakan kereta Perodua Alza yang dinaik taraf dengan pelbagai peralatan termasuk sistem bunyi.

Sejak empat tahun lalu dia menghabiskan perbelanjaan kira-kira RM30,000 dengan duit gaji dan bonus yang diterima supaya kenderaannya sebaris dengan ke­reta lain.

Pemandu lori itu berkata, minat yang mendalam tidak menghalang tugas-tugas hariannya kerana kebanyakan pertan­dingan diadakan pada cuti hujung minggu mahu pun cuti umum.

“Minat saya ini turut dikongsi bersama isteri dan anak-anak saya yang turut sama mengikuti sekiranya menyertai pertandi­ngan termasuk di luar negeri Johor,” ujarnya.

Penganjur pertandingan, Hisham Abd. Talib, 37, dari Salute Motor berkata, penilaian ke atas pemenang dilakukan menerusi pelbagai kategori bagi memberikan peluang kepada pemilik kenderaan yang mengambil bahagian.