Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang bentuk ancaman perlu ditangani dengan ilmu supaya tiada pihak mengeksploitasi mereka yang daif pemikiran dan mudah terpengaruh dengan fahaman sesat lagi ekstrem.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, usaha yang tersusun dan bersasar perlu dilakukan supaya tidak ada pihak terutama golongan muda dengan mudah diperalatkan.

“(SAKJ) menerapkan nilai-nilai pegangan hidup, keharmonian dan usaha kita dalam mengimbangi kekuatan dalaman dan ajaran pendidikan agama dengan kemodenan dan pembangunan,” katanya.

Ahli Parlimen Sembrong itu ber­kata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Projek SAKJ Fasa 5 di SAKJ Taman Sri Lambak dan SAKJ Paloh 2 di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Ja­wa­tankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan; ADUN Paloh, Teoh Yap Kun; Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd. Razak Mohd. Yusoof dan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Norhisham Ihwan.

Sementara itu, Abd. Mutalip menegur segelintir ibu bapa yang memberhentikan anak-anak me­reka daripada SAKJ kononnya mahu memberikan tumpuan terhadap Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ada aduan ibu bapa berhentikan anak-anak mereka di SAKJ dan belajar separuh jalan sahaja kerana nak kejar PT3 atau SPM. Saya nasihatkan tetapkan belajar di sekolah agama.

“Memberi didikan agama ada­lah tanggungjawab ibu bapa dan bukan kerajaan tetapi tanggungjawab ini sudah diambil alih kerajaan negeri menerusi SAKJ dengan memberikan pendidikan, sepatutnya kena berterima kasih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, peruntukan membina SAKJ Taman Sri Lambak dan SAKJ Paloh 2 itu membabitkan kos hampir RM9 juta sekali gus menambah jumlah sekolah agama aliran tersebut yang berjumlah 17 semuanya di Sembrong.

Jelasnya, SAKJ Taman Sri Lambak dibina di mukim Renggam dengan keluasan kira-kira 1.3 hektar yang akan memiliki bangunan pentadbiran dan akademik tiga tingkat memuatkan 10 bilik darjah, pejabat guru, pusat sumber dan surau.

Sementara SAKJ Paloh 2 pula katanya, dibina di mukim Paloh seluas kira-kira 0.9 hektar yang mempunyai bangunan pentadbiran dan akademik dua tingkat dengan 10 bilik darjah, pejabat guru, pusat sumber, kantin, surau dan satu tingkat dewan terbuka berbumbung.