Namun, seiring dengan peredaran zaman dan kepesatan pembangunan sistem pengangkutan, perkhidmatan beca semakin 'dilupakan' , malah tidak keterlaluan jika dikatakan sudah 'pupus'.

Menyedari potensinya, khusus dalam sektor pelancongan, ada beberapa inisiatif diambil untuk memperkenalkan semula perkhid­matannya bagi membawa pengunjung dan pelancong bersiar-siar menikmati pemandangan bandar.

Antara negeri yang memperke­nal perkhidmatan tersebut ialah Melaka dan Pulau Pinang dan menyedari potensinya, Tou­rism Johor dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) negeri ini turut memperkenalkan perkhidmatan tersebut mulai 1 November lalu.

Uniknya, perkhidmatan beca berkenaan beroperasi mulai pukul 5 petang bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung dan pelancong bagi menikmati keindahan bandar raya ini pada waktu malam.

Bagi perjalanan sejauh 2.2 kilo­meter dari Hotel Amari yang melalui beberapa batang jalan seperti Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja serta Persiaran Muafakat Bangsa Johor, setiap pelanggan hanya dikenakan bayaran RM15.

Jika biasanya, pengayuh beca terdiri daripada golongan dewasa, namun Tourism Johor memberi kelainan kerana golongan yang akan membawa pengunjung mengelilingi bandar raya ini terdiri daripada remaja belasan tahun serta masih bersekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong menyifatkan per­khid­matan beca berkenaan umpama 'city tour' pada waktu malam yang lebih santai dan mesra bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelancong.

“Sepanjang laluan itu, pe­ngunjung dapat menyaksikan beberapa tempat menarik di bandar raya ini seperti rumah ibadat, muzium, pasar karat serta Sungai Segget. Saya yakin perkhidmatan ini akan membawa manfaat kepada banyak pihak kerana menyediakan pe­l­uang perniagaan dan pekerjaan,” katanya semasa meras­mikan majlis pra pelancaran perkhidmatan itu, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Toursim Johor yang baharu, Abdul Malik Ismail; bekas Pe­ngarah Tourism Johor, Mohd. Shukri Masbah yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Pontian dan Presiden MITA, Uzaidi Udanis.

Siew Kiong memberitahu, inisiatif tersebut juga selari dengan dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperkasakan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan warisan dan bertemakan keluarga.

“Berdasarkan Laporan Pe­nyiasatan Pelancongan Domestik 2016, Johor berjaya menarik seramai 7.4 juta pelancong domestik dan menjadikan negeri ini dapat menarik paling ramai pelancong tempatan. Ini membuktikan Johor sebagai negeri pilihan utama rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara dan kita perlu sentiasa berusaha meningkatkan daya saing sektor pelancongan ini,” katanya.