Timbalan Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, PPR itu melibatkan 400 unit rumah kluster satu tingkat beserta kemudahan seperti surau, balai komuniti, kedai, tadika dan taska.

Penyandang kerusi Parlimen Tenggara itu berkata, setiap unit rumah bakal berkeluasan 700 kaki persegi lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“PPR Bandar Tenggara ini merupakan janji kerajaan untuk membantu rakyat khususnya warga bandar Tenggara menikmati kemudahan perumahan yang disediakan kerajaan.

“Insya-Allah KPKT akan menyegerakan projek ini untuk disiapkan pada 2020 seterusnya berharap penerima menghargai dan menjaga sebaik mungkin aset berharga ini agar dapat diduduki dengan selesa dalam jangka masa panjang.

“Hendaknya kita sentiasa berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan menepati janji dalam menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan rak­yat,” katanya kepada pemberi­ta selepas merasmikan majlis pelancaran program Perumahan Rakyat (PPR), Balai Bomba dan Penyelamat dan Ujana Taman Tasik Bandar Tenggara di sini baru-baru ini.

Halimah berkata, pelaksana­an PPR adalah untuk mencapai sasaran penyediaan rumah mampu milik dengan subsidi yang tinggi daripada kerajaan.

Katanya, program itu khusus untuk membantu golongan berpendapatan RM3,000 ke ba­wah dan penduduk setinggan menikmati kemudahan perumahan disediakan kerajaan.

“Melalui peruntukan Bajet 2018 sebanyak RM541 juta diluluskan bagi meneruskan pembinaan 22,320 unit rumah dalam peringkat pembinaan termasuk 8,750 unit rumah baharu.

“Sehingga kini di seluruh negara, KPKT telah menyiapkan 125 projek melibatkan pembinaan 85,198 unit rumah dengan perbelanjaan hampir RM6 bi­llion. Melalui penyediaan unit-unit rumah itu telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 rakyat yang memerlukan kemudahan perumahan,” katanya.

Halimah berkata, bagi negeri ini sejumlah 14,425 unit rumah termasuk 8,278 unit sudah siap dibina di bawah program PPR itu manakala 5,047 unit lagi sedang dibina dan 1,100 unit dalam perancangan termasuk PPR Bandar Tenggara.