Ahli Parlimennya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, program Gotong Royong Perdana 2017 itu dijangka memberi manfaat kepada 34 buah rumah membabitkan penduduk yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, penerima dipi­lih menerusi pangkalan data e-Kasih Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM), selain saranan daripada masyarakat setempat dan pemimpin tempatan.

“Proses membaiki rumah penduduk yang disenaraikan dilakukan menerusi konsep sukarelawan membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Jadi, ia akan menjadikan dana yang diperuntukan hanya digunakan untuk membeli peralatan membaiki rumah,” kata­nya ketika ditemui selepas me­ninjau proses pembaikan rumah seorang penerima di Kampung Tebing Tinggi, Tongkang Pechah di sini semalam.

Ab. Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, antara kerja pembaikan dilakukan termasuk menggantikan atap zink, dinding rumah, tingkap dan tandas.

“Malah, ada beberapa rumah yang perlu diberi perhatian untuk membuat semula sistem pendawaian elektrik baharu dan kerosakan lain yang akan dipertimbangkan,” katanya yang memaklumkan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 diperlukan bagi sebuah rumah penduduk.

Sementara itu, penerima bantuan, Husin Tahir, 63, bersyukur kerana terpilih menerima bantuan pembaikan rumah berkenaan yang sudah berusia 30 tahun dan uzur di beberapa bahagian.

“Menerusi bantuan itu, din­ding dapur rumah yang sudah reput, atap zink bocor serta pendawaian elektrik yang baharu diberikan sekali gus memberi kelegaan kepada kami sekeluarga,” katanya.