Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada tahun ini seramai 38 agroprenuer muda menerima bantuan RM585,000 termasuk 32 usahawan dari Pulai, dekat sini.

“Mereka yang menerima bantuan program Agroprenuer Muda ini antaranya melibatkan khidmat nasihat, geran bantuan berupa barang dan peralatan bagi memulakan aktiviti keusahawanan.

“Program ini boleh menjana pendapatan dan mewujudkan pe­luang pekerjaan kepada para belia di samping menarik minat mereka untuk menceburi bidang pertanian,” katanya semasa me­rasmikan Program Jelajah Tani Negaraku TN50 Parlimen Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Moha­med yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Samsolbari Jamali.

Pada majlis tersebut, Ahmad Shabery menyerahkan geran Ag­roprenuer Muda, cek Tabung Eko­nomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), cek Temanita dan elaun sara hidup kepada golongan nelayan.

Beliau berharap, penyertaan agroprenuer muda dapat membantu kementeriannya melahirkan seramai 3,000 usahawan belia dalam industri agro makanan dan memperuntukkan RM100 juta pada tahun ini bagi mencapai matlamat tersebut yang diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mengenai Program Jelajah Tani Negaraku TN50 Palimen Pulai, beliau berkata, inisiatif itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Program ini juga bertujuan memberi kesedaran tentang ke­pentingan industri agro makanan kepada negara di samping me­ngumpul sebanyak mungkin aspirasi rakyat terhadap Transformasi Nasional 2050 (TN2050),” katanya.