Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai memberi peruntukan membaik pulih rumah sebanyak RM4,000 bagi menggantikan zink yang baharu dan kerja-kerja membaiki yang lain.

Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Rimba Terjun, Zam Hashim berkata, selain rumah Mohd. Azlee, 14 lagi rumah turut menerima peruntukan baik pulih di kampung itu dan Kampung Kelapa.

“Keseluruhan sebanyak RM40,000 telah dibelanjakan bagi membaik pulih rumah penduduk yang terlibat termasuk kerja-kerja membaiki bumbung dan bahagian dapur rumah mereka.

“Penduduk berterima kasih kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik kerana memberi perhatian terhadap masalah yang dibangkitkan penduduk kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Azlee, 41, berkata, selain masalah rumah bocor, ruang dapur rumah yang sempit juga menjadi masalah kepadanya sekeluarga bagi melakukan tugas-tugas seharian.

Selain isterinya, Siti Zurinah Bachok dan anaknya, Mohd. Hakimi Haikal, 17, dia turut menyara ibunya, Jamilah Jamak, 66, yang tinggal di sebelah rumahnya di Kampung Duku.

“Dengan pendapatan sebagai pekerja pembersihan, sebelum ini saya tidak mampu menyediakan perbelanjaan bagi menukarkan zink yang rosak mahupun menambah ruang dapur,” katanya.

Menurutnya, rumah yang diduduki itu dibina dengan wang simpanan sendiri, namun mengalami banyak kerosakan dan memerlukan kerja-kerja baik pulih bagi keselesaan keluar­ganya.

Katanya, kerja-kerja baik pulih rumahnya akan dilakukannya sendiri yang berkemahiran serta pengalaman bertukang dan diharap kerja-kerja itu akan dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Selain menjaga ibunya yang baharu menjalani pembedahan lutut, dia menjaga bapanya, Abd. Aziz Abd. Majid, 68, yang juga bekerja sebagai pekerja pembersihan di Pasar Peladang di sini.