Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, Muzium Kota Tinggi akan berwajah baharu dengan menampilkan beberapa kelainan.

Menurutnya, muzium itu ditutup sementara kepada umum sejak Mei 2012 bertujuan me­laksanakan kerja-kerja membaik pulih bangunan meliputi kerja-kerja awam, elektrikal dan mekanikal serta menaik taraf ruang pameran.

“Penutupan dalam tempoh masa lama ini menyebabkan Muzium Kota Tinggi semakin dilupakan. Kerja-kerja membaik pulih bangunan yang melibatkan kerja-kerja awam, elektrikal dan mekanikal dijalankan bermula 1 November 2016.

“Sementara kerja-kerja menaik taraf hiasan dalaman dan konsep pameran sudah bermula pada September lalu dan dijangka siap sepenuhnya Disember ini.

“Kos bagi keseluruhan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf muzium ini melibatkan RM4 juta daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya,” katanya selepas meninjau perkembangan kerja-kerja baik pulih muzium itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Jurutera JKR daerah, Normansah Bokhari; Jurutera Awam JKR daerah, Fakhrur Rezuan Mahamad dan Kurator Bahagian Pemuziuman Yayasan Warisan Johor, Wasfi Mirza Othman.

Mohd. Khuzzan berkata, berdasarkan lawatan ke muzium berkenaan mendapati semua pembinaan berjalan lancar mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Kita menjangkakan projek naik taraf muzium ini akan siap pada akhir tahun ini sebelum dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya Februari depan.

“Muzium Kota Tinggi akan berwajah baharu berkonsepkan galeri seni yang akan memaparkan peristiwa bersejarah Kesultanan Johor Lama dalam bentuk ilustrasi dengan disokong artifak berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Khuzzan berhasrat membawa pengamal media untuk ke muzium berkenaan sebelum dibuka secara umum kepada orang ramai.