Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM26 juta adalah khusus untu membina 10 atau 11 masjid baharu di seluruh negeri.

“Ini melibatkan peruntukan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat. Ini adalah usaha kita dalam  memperkukuhkan pega­ngan selain memenuhi keperluan umat Islam beribadah.

“Begitu juga dari semasa ke semasa kita akan baiki dan selenggara masjid-masjid yang memerlukan,” katanya berucap dalam Program Selangkah Ke Alam Remaja Khatan Perdana 2017 yang melibatkan 480 kanak-kanak di Masjid Seri Alam, di sini baru-baru ini. 

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd. Samad dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Mohamed Khaled berkata, sebanyak RM250 juta pula untuk membina 30 sekolah agama baharu kerana sebanyak 578 sekolah agama sedia ada tidak cukup menampung keperluasan semasa.

Katanya, apabila siap kelak akan terdapat 608 buah sekolah agama di seluruh negeri sekali gus diharapkan dapat mengimbangi tuntutan dan cabaran umat Islam masa kini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, sementara RM100 juta pula kerajaan negeri membayar gaji dan elaun kepada guru-guru agama tersebut.

Semua yang kerajaan negeri lakukan itu katanya, untuk memantapkan akidah dan pega­ngan umat Islam di Johor dan tidak mahu terutama orang Melayu lemah pegangan agamanya seper­ti yang berlaku di negara jiran selain di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita dapat lakukannya kerana keistimewaan dan kedudukan agama Islam di negara ini, tiada siapa yang boleh dipertikaikannya. Kita perlu faham sangat-sa­ngat perkara ini,” katanya.