Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian itu bertujuan menam­pung keperluan golongan tersebut yang terkesan ekoran pengurangan hasil disebabkan aktiviti penambakan yang dilakukan akibat projek pembangunan di kawasan pesisir pantai di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak RM14 juta telah diperuntukkan bagi tujuan berkenaan sejak dilaksanakan pada tahun 2014.

“Kita sedar cabarannya (pembangunan) kepada kelompok ma­syarakat. Ada yang tercicir, tertinggal, tidak termasuk dalam arus perdana dan cabaran kepada pekerjaan tradisi termasuk golo­ngan nelayan.

“Maka dengan itu timbul keprihatian kerajaan Negeri bahawa memang nelayan merupakan golongan terjejas. Jadi, bagaimana kita boleh bantu mereka supaya kekurangan hasil tangkapan boleh diimbangi dengan bantuan yang diberikan,” katanya dalam majlis penyerahan Bayaran Saguhati Nelayan Johor Selatan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, di sebalik kepesatan pembangunan yang berlaku, golongan nelayan dan penternak tetap diangggap pen­ting dan relevan pada masa ini.

“Kita sedar pembangunan membawa cabaran bagi pelbagai pihak termasuk nelayan dan sebab itulah kita sediakan bantuan ini kepada golongan ini. Kita sudah memberikan bantuan ini selama empat tahun berturut-turut kepada golongan nelayan.

“Kerajaan negeri mahu supaya nelayan yang terjejas ini boleh terus terlibat dalam sektor ini kerana masyarakat nelayan masih relevan dalam menyumbang kepada penghasilan sumber makanan untuk negeri,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan komited untuk memperkasakan industri perikanan pada masa depan termasuk membangunkan hab pemprosesan ikan di Endau, Mersing.

Beliau berkata, dengan adanya hab itu nanti, mereka yang terlibat dalam aktiviti berkenaan boleh menghasilkan produk berasaskan hasil tangkapan dan boleh dieks­port.