ISMAIL MOHAMED

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, daripada jumlah itu, lebih RM2.4 juta akan dibelanjakan untuk memberikan bantuan kepada usahawan.

“Baki peruntukan berkenaan me­nunggu kelulusan untuk diagihkan kepada 63 usahawan lagi yang membuat permohonan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Ismail, sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta untuk program galakan usahawan yang kemudiannya diagihkan menerusi projek tanaman fertigasi dan pembangunan tanah terbiar.

Menurut beliau, lebih RM2.7 juta telah diagihkan kepada 430 usahawan dalam bentuk input pertanian termasuk benih dan peralatan.

“Sementara bakinya digunakan untuk menganjurkan pelbagai program dan perbelanjaan pengurusan program galakan usa­hawan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi projek tanaman fertigasi bukan sahaja mampu melahirkan usahawan berjaya malah menjadi mentor kepada usahawan lain bagi menambah bila­ngan usahawan dan menampung keperluan pertanian di negeri ini.

Menurutnya, melihat kejayaan projek yang diperkenalkan sejak 2014 itu, pihaknya terus melaksanakannya dan mengenal pasti pekebun berpotensi untuk dijadikan calon projek.

“Saya memperkenalkan projek berkenaan untuk melahirkan usahawan, menambah bekalan dan mengurangkan kebergantungan import pertanian, Alhamdulillah ia berjaya menepati sasaran iaitu bukan saja melahirkan usahawan berjaya malah menjadi mentor kepada calon lain.

“Tujuan utama projek ini bagi melahirkan usahawan tani yang boleh membekalkan tanaman secara konsisten sekali gus meme­nuhi keperluan dan permintaan tempatan yang semakin meningkat berikutan penambahan penduduk,” ujarnya.

Pada masa sama kata Ismail, pihaknya mahu usahawan yang berjaya itu menjadi mentor bagi membimbing peserta baharu program berdasarkan pengalaman mereka supaya negeri ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

Menurutnya, contoh terbaik adalah usahawan dari Kota Tinggi, Nor Alam Sahroni yang bermula sebagai usahawan baharu, kini mempunyai pusat pengumpulan cili sendiri untuk dipasarkan di kawasan sekitar Kota Tinggi dan daerah berhampiran.

“Lebih membanggakan, Nor Alam kini menjadi mentor kepada 30 usahawan yang turut membekalkan cili kepada pusat pengumpulannya. Ini adalah contoh terbaik dan merealisasikan diimpikan kerajaan negeri kerana dapat melahirkan seorang mentor yang mampu membimbing dan melahirkan lebih ramai usahawan baru,” katanya.