Ketua Pegawai Eksekutif, Mahadzir Mustafa berkata, projek mega itu termasuk membina sistem tangki serta agihan air yang bernilai lebih RM70 juta pada tahun lalu.

“Projek LRA Semangar ini berupaya meningkatkan kapasiti bekalan air terawat di kawasan yang merangkumi Johor Bahru, Skudai, Senai dan Kulai.

“Ini membolehkan kapasiti air terawat ditingkatkan kepada 318 juta liter sehari berbanding 159 juta liter sehari sebelum ini untuk 600,000 penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepa­da pemberita selepas Program PAAB Prihatin:Permata Istimewa di Wad Pediatrik, Hospital Sulta­nah Aminah (HSA), di sini semalam.

Program berkenaan disempurnakan Pengerusi PAAB, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan dihadiri Pengarah HSA, Dr. Aman Rabu.

Dalam program berkenaan, sebagai tanda keprihatinan, PAAB bermurah hati menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah kepada 120 pesakit kanak-kanak dan sumbangan kipas angin din­ding kepada tiga Wad Pediatrik HSA.

Mahadzir berkata, projek LRA Semangar itu dilakukan selepas Johor yang merupakan negeri ketiga menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Air sejak lapan tahun lalu.

“Projek ini dilaksanakan sejak tahun 2009 dan siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 2011. Kita juga dalam perancangan membina dan menyiapkan LRA Buloh Kasap di Segamat, LRA Pagoh di Muar dan LRA Kahang di Kluang,” katanya.

Jelas beliau, PAAB juga merancang menjalankan projek menaik­taraf LRA Pemanis di Segamat, Bukit Serampang di Muar dan Sungai Lebam di Kota Tinggi.