Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, kerja-kerja pembinaan sekolah itu akan dilaksanakan seawal bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2019.

“Kerajaan melantik Kumpulan Prasaran Rakyat Johor (KPRJ) dan anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn. Bhd. yang akan membina bangunan sekolah itu dengan reka bentuk terkini, moden dan lebih selesa serta dilengkapi pelbagai fasiliti.

“Daripada 30 sekolah itu, empat sekolah akan dibina di kawasan Pasir Gudang iaitu tiga buah merupakan bangunan baharu manakala satu lagi merupakan bangunan tambahah di Sekolah Agama Taman Scientec, dengan kos kira-kira RM27 juta,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Sekolah Agama Kerajaan Negeri (SAKJ), Taman Bukit Dahlia, di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd. Razak Mohd. Yusoff dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Mohamed Khaled berkata, selain memenuhi keperluan semasa, tujuan menambah bangunan sekolah agama baharu itu adalah bagi memastikan pelajarnya berpegang kuat kepada agama dan tidak susut rohaninya selari dengan kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di nege­ri ini.

Mengenai Sekolah Agama Taman Bukit Dahlia, beliau berkata, tapaknya seluas 1.12 hektar, mempunyai reka bentuk baharu, turut dilengkapi dewan terbuka, dewan peperiksaan, bilik pusat sumber, bilik mesyuarat, kantin, bilik guru dan ruang pentadbiran yang kondusif.

Tambahnya, bangunan tersebut mempunyai dua tingkat yang terdiri 12 buah bilik darjah dilengkapi perabot dan boleh memuatkan 480 pelajar dalam satu sesi persekolahan.