Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, penubuhan kajian tersebut bagi memperkasakan bidang penyelidikan dan akademik serta menggalakkan perkongsian kepakaran, sumber manusia dan idea antara institusi pengajian tinggi, industri serta masyarakat.

“Falsafah pendidikan dan penyelidikan di CASIS ini adalah menyasarkan bagi melahirkan sarjana dan golongan profesional yang beradab serta mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang dikaji, sekali gus berupaya menyumbang terhadap kemajuan bangsa, negara dan kesejahteraan sejagat,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UTM dan QSR Brands (M) Hol­dings Bhd., di sini semalam.

Turut menyaksikan majlis tersebut ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang juga Canselor UTM.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Ka­maruzzaman Abu Kassim yang juga Pengerusi QSR Brands.

Sementara itu, Kamaruzzaman menyifatkan Tan Sri Syed Muhammad al-Naquib Ali al-Attas adalah seorang tokoh falsafah Islam, selain pelopor bagi idea Islamisasi pengetahuan.

“Tokoh besar ini juga me­ninggalkan pemikiran Islam dan tamadun dalam 27 buku karya beliau, khususnya sufisme, kos­mologi, metafizik, Bahasa Melayu serta kesusasteraan.

“JCorp menerusi QSR Brands terpanggil untuk memastikan legasi ilmu yang hebat ini diwa­risi generasi muda kita,” ujarnya.

Semua khazanah itu bukan setakat diwarisi, malah dicerna secara akademik untuk mendapatkan pati ilmu dan falsafahnya,” katanya.