Yang DiPertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Fizwan Mohd. Rashidi berkata, sebanyak RM1.4 juta diperuntukan untuk kerja-kerja mendirikan tiang lampu jalan dan berkaitan pencahayaan.

“Ini membabitkan dari zon di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) hingga ke persimpangan tiga Keris atau jalan pintas Kota Tinggi.

“Kerja mendirikan tiang lampu dan berkaitan pencahayaan jalan raya juga akan diperluaskan selepas ini meliputi laluan dari zon Kampung Jawa-Taman Desa Sejahtera hingga ke pekan Batu Ampat dengan kos RM600 ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor serta Perasmian Pencahayaan Tepian Sungai Johor di Persiaran Tun Habab di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Tim­balan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Nasaruddin Ahmad.

Fizwan berkata, sebanyak RM500,000 pula diperuntukkan bagi memasang 100 unit lampu berteknologi pemancar cahaya diod (LED) di sepanjang persisiran Sungai Johor di sini.

Katanya, projek pencahayaan fasa 1 yang menggunakan kuasa sistem tenaga solar itu sebahagiannya di pasang di Jalan Omar dan sebahagian lagi di Jalan Su­ngai Kemang yang lebih dikenali sebagai Persiaran Tun Habab.

“Turut dipasang pencahayaan lampu perkataan I Love Kota Tinggi yang merentangi jambatan gantung Titian Laksamana.

“Fasa 2 pula akan menumpukan pencahayaan kawasan persisiran sungai berhampiran pusat bandar ini iaitu di Laman Tun Sri Lanang dan akan mula dipasang pada tahun depan,” katanya.

Fizwan berkata, projek itu akan menambah baik kawasan riadah yang mengambil kira aspek keselamatan serta menambah nilai aset-aset produk pelancongan sedia ada dan yang telah dibangunkan di daerah ini.