Semua bakal jemaah haji tersebut akan berlepas pada 11 dan 12 Ogos ini menerusi dua penerba­ngan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat sini.

Mereka diraikan dalam Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor Tahun 1438/2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Mufti negeri, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadut.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, mereka bertuah kerana terpilih menjadi tetamu Allah sekali gus merupakan satu kelebihan dan rezeki sama ada menunaikan haji atau umrah.

Ini kerana katanya, ruang dan kesempatan untuk sesiapa sahaja berkunjung ke Tanah Haram, tidak pernah berkait dengan soal wang, kedudukan, pangkat dan masa.

“Mereka yang mempunyai banyak wang, berkedudukan, berpengaruh, berpangkat besar dan mempunyai segala-galanya masih tidak berkesempatan ke Tanah Suci.

“Sedangkan ada sahaja mereka yang tinggal di ceruk kampung yang hidupnya kais pagi makan pagi yang perkerjaannya biasa-biasa sahaja, namun sudah dijemput sampai ke rumah-Nya malah berkali-kali,” katanya.

Beliau berharap, semua jemaah menjaga disiplin dan ke­selamatan diri masing-masing terutama Masjidil Haram yang kini dalam proses pembinaan dan penstrukturan semula.

Mohamed Khaled turut me­minta bakal haji supaya menjalani ibadat dengan penuh penghayatan bagi memperoleh haji mabrur selain mendoakan kebaikan buat Malaysia dan Johor.

“Menerusi doa ini Johor akan terus sentosa, selamat, makmur dan berkemajuan. Semoga Johor akan terus ditadbir sebuah kerajaan Melayu Islam yang prihatin, telus dan yang akan terus memartabatkan Islam,” katanya.