Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, golongan mualaf akan dibantu menerusi lapan skim antara­nya melibatkan pendidikan, perumahan, perubatan dan ekonomi.

“Semuanya untuk melindungi dan menjaga kedudukan mualaf di Johor. Contohnya daripada jumlah itu sebanyak RM3.6 juta dana Skim Bantuan Bulanan Mualaf Negeri Johor akan diberikan.

“Skim ini diberikan bermula bulan ini yang akan dimanfaatkan tiga kategori penerima terdiri daripada 1,000 mualaf yang masih dalam tempoh dua tahun pertama pengislamannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Hari Himpunan Muafakat Saudara Kita Negeri Johor Tahun 2018/1438 Hijrah di M. Suites Hotel di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Mufti Negeri Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin.

Mohamed Khaled berkata, jumlah bantuan dana skim itu diberikan mengikut kategori serta status seseorang mualaf melibatkan status bujang dan ketua keluarga.

Beliau memberitahu, RM200 kepada mualaf yang berstatus bujang, RM300 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan hingga lima orang dan RM400 kepada mualaf yang merupakan ketua keluarga dengan tanggungan lebih lima orang.

Jelasnya, bilangan seramai 4,190 adalah saudara baharu dalam tempoh lima tahun ini sejak 2013 hingga tahun lalu dan itu merupakan perkembangan yang positif dan memberangsangkan.

Kerajaan negeri katanya, akan melakukan apa sahaja dalam kemampuannya untuk memberikan perlindungan, sokongan dan pengiktirafan kepada golongan saudara baharu tersebut.

Pertama katanya, kerajaan negeri menghargai segala pe­ngorbanan mereka memeluk Islam dan kedua akan menyantuni golongan mualaf kerana perkara itu adalah satu tuntutan agama Islam.

Ketiga katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membantu mereka sementara keempat melindungi mereka manakala kelima beri perhatian selari dengan aspirasi Johor Islami.