Pegawai Daerah Segamat, Mo­hd. Haffiz Ahmad berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer dengan ketinggian 0.3 hingga satu meter itu turut melibatkan pembinaan tebatan banjir, naik taraf jambatan dan pelebaran sistem perparitan di sekitar Batu Anam.

“Selain melebar dan mendalamkan Sungai Senarut di Batu Anam, longkang konkrit berhampiran pe­nempatan penduduk turut dinaik taraf untuk mengurangkan risiko banjir kilat, terutamanya pada musim tengkujuh oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Projek yang akan bermula Sep­tember ini juga diharapkan mampu menyelesaikan isu limpahan air sungai di kawasan ini dan seterusnya mengurangkan risiko kejadian banjir,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Spang Loi, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Pe­nolong Jurutera JPS Daerah Segamat, Hamizan Abdul Hamid dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Rusyidatul Mat Yaakob.

Mohd. Haffiz berkata, dalam kejadian 28 Jun lalu, sembilan mangsa banjir terdiri daripada dua keluarga dipindahkan sele­pas rumah mereka dinaiki air akibat limpahan air Sungai Muar ekoran air yang turun dari Sungai Kelamah, Negeri Sembilan.

Semasa banjir pada awal tahun ini, sebanyak 69 buah keluar­ga yang melibatkan 225 mangsa terjejas dan pihaknya berharap projek itu mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, seorang mang­sa banjir, Halimah Sulaiman, 36, berkata, sejak Rabu minggu lalu, dia dan suami serta empat anak terpaksa berpindah ke pusat pemindahan kerana rumah mereka dinaiki air setinggi 1.5 meter.

“Biasanya keluarga saya merupakan mangsa banjir yang terawal berpindah ke pusat pemindahan dan keluarga terakhir yang akan pulang kerana masalah air termenung yang mengambil ma­sa sehingga beberapa minggu untuk surut.

“Saya berharap dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat kerana sesi persekolahan sudah bermula dan berharap projek yang diumumkan ini mampu mengatasi masalah yang sudah berlarutan beberapa tahun ini,” katanya.