Sahir Mohd Dali, 41, memohon bantuan itu hujung tahun lalu dan dalam beberapa bulan sahaja permohonan bantuan berupa peralatan dan mesin kimpalan berjumlah RM14,000 diluluskan.

“Sebelum ini saya bekerja makan gaji dan perniagaan kimpalan ini baru sahaja bermula tiga tahun lalu secara kecil-kecilan di rumah dan saya mengalami masalah kekurangan peralatan seperti mesin kimpalan, mesin pencanai dan alat janakuasa.

“Saya harap bantuan ini dapat membantu saya berkembang le­bih maju dalam perniagaan kimpalan ini pada masa akan datang dan bantuan peralatan ini juga memberi kemudahan kepada dua lagi pekerja saya,” katanya.

Dia ditemui semasa Majlis Penyerahan Bantuan AET dan Program Kasihi Pekebun Kecil yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim di Kampung Sepinang di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Ketua Kampung Sepinang, Mohd. Taher Ibrahim.

Seorang lagi penerima, Saydatul Akma Ismail, 32, turut melahirkan rasa syukur kerana permohonannya untuk mendapatkan peralatan mesin jahit dibawah skim AET diluluskan.

“Sebelum ini saya terpaksa menjahit tempahan daripada pe­langgan di rumah ibu saya Rubiah Rahim, 63, yang juga mengambil tempahan menjahit daripada penduduk setempat.

“Selalunya jumlah tempahan meningkat berlipat kali ganda ketika menjelang musim perayaan membuatkan saya tidak menang tangan menyiapkan semua tempahan,” katanya,

Katanya, dengan bantuan AET berbentuk mesin dan peralatan berjumlah RM14,000 ini mampu mengembangkan lagi produktiviti pada masa akan datang.

Sementara itu, Norshida ber­kata, di DUN Buloh Kasap sahaja, Risda meluluskan sejumlah RM48,000 sebagai bantuan AET yang memberi manfaat kepada 13 usahawan berbanding jumlah keseluruhan RM240,000 di daerah Segamat.