Malah nama Mersing sudah terkenal dalam kalangan pencinta pulau dan laut kerana menjadi laluan ke pelbagai pulau yang menawarkan keindahan tersendiri.

Keunikan Mersing menggabungkan seni hidup masyarakat negeri ini dan negeri Pantai Timur.

Para pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan Pantai Timur di Mersing.

Keunikan Mersing tentunya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi memenuhi permintaan industri pelancongan, muncul pelbagai kemudahan terma­suk tempat penginapan supaya pengun­jung dapat benar-benar menyelusuri keindahan Mersing dalam suasana yang selesa.

Rimba Resort di Teluk Iskandar, Sri Pantai, Mersing meru­pakan salah satu tempat penginapan yang mampu memuaskan hati pengunjung.

Terletak tiga kilometer dari bandar Mersing, Rimba Resort menawarkan 18 unit bilik de­ngan tiga kategori yang boleh dipilih mengikut cita rasa dan poket pengunjung.

Walaupun berhampiran bandar, namun lokasi Rimba Resort amat menarik.

Di situ pengunjung boleh menikmati panaroma indah dan mempersonakan.

Pengurus Rimba Resort, Ibrahim Awang, 56, berkata, pusat peranginan yang baru diambil alih pengurusan sejak dua tahun lalu memang mempunyai keunikan tersendiri.

“Antara kelebihannya, di samping pasir memutih yang diselang-seli dengan batu-batuan, orang ramai juga boleh me­nyaksikan matahari terbit dan pada waktu senja boleh melihat keindahan mentari terbenam.

“Di celah-celah batu-batuan itu kita bukan sahaja boleh melihat udang di sebalik batu, sebaliknya terdapat pelbagai sumber khazanah kurniaan Allah SWT.

“Di sini merupakan lubuk ikan dari pinggir pantai kita boleh lihat hidupan laut termasuk lobster, kerapu, pari, siakap, gelama, gong-gong dan ketam,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Ibrahim memberitahu, resort tersebut yang mengekalkan konsep rimba, di samping meningkatkan landskap serta keceriaan, turut memiliki pemandangan yang mempersonakan iaitu berhadapan dengan empat pulau, iaitu Pulau Hujung, Tinggi, Te­ngah dan yang agak jauh ialah Pulau Tioman.

Katanya, kelebihan di Rimba Resort, telah mendorong para pelancong yang berkeluarga, kaki pancing dan golongan yang cintakan keindahan semula jadi berkunjung ke resort ber­kenaan.

“Apa yang membanggakan keindahan yang ada di pusat peranginan ini turut menggamit para produser untuk menjadikan pantai ini sebagai lokasi penggambaran beberapa buah drama dan penggambaran bagi pasang penggantin.

“Kami turut menerima tetamu dalam kalangan para pemain bola sepak Johor Darul Ta’ zim III (JDT III) yang menjadikan resort ini sebagai penginapan mereka semasa menjalani latihan di Kem Iskandar, Sekakap dekat sini,” katanya.

Bagi mengurus resort seluas kira-kira 0.4 hektar itu, Ibrahim dibantu oleh sembilan pekerja yang terdiri daripada ahli keluarganya.