Ramadan bukan sahaja bulan untuk umat Islam beribadah, malah untuk beramal dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Bulan mulia ini turut membuka pintu rezeki, khususnya kepada para peniaga di bazar Ramadan, manakan tidak, pelbagai juadah dan kuih-muih yang enak dan jarang terdapat pada hari-hari biasa seperti murtabak dan air katira boleh didapati de­ngan mudah.

Bagi Kumpulan RAG, syarikat milik usahawan bumiputera itu tidak ketinggalan menggunakan kesempatan pada bulan Ramadan untuk meraikan golongan yang memerlukan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RAG, Rohsawal Nizam Abd. Ghafar berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, pihaknya akan me­nganjurkan majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan berkenaan.

“Ini merupakan tahun ke-18 kami akan mengadakan majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim, ibu tunggal, OKU dan warga emas dan pada masa sama menyampaikan sedikit sumba­ngan kepada mereka.

“Pada kami, paling tidak ba­nyak pun, sedikitlah kami dapat bantu...apa yang penting kita jangan sesekali melupakan golongan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain golongan kurang berkemampuan, para pelajar sekolah tahfiz dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) juga ti­dak dilupakan apabila turut sama diraikan sempena Ramadan.

Guru Besar SKPK Princess Elizabeth, Mohd. Dini Karim berkata, pihaknya bersyukur atas keprihatinan pelbagai pihak men­jemput pelajar istimewa sekolah berkenaan yang tinggal di asrama berbuka puasa di luar termasuk di hotel.

“Bagi saya ini rezeki para pelajar kerana sebelum bulan puasa lagi kami sudah mendapat unda­ngan untuk berbuka puasa di hotel-hotel di sekitar bandar raya ini.

“Lebih mengharukan apabila terdapat individu mahupun syarikat bukan bumiputera turut meraikan kami dengan menghantar makanan segera yang menjadi ke­gemaran para pelajar ini untuk berbuka puasa di asrama,” katanya.