Namun, menurut Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan hospital tersebut, Isaiah Cheong Sai Hoong, perkara itu masih di peringkat perancangan dan berharap mendapat kelulusan segera.

“Perancangan untuk membina bangunan baharu itu memasuki fasa akhir dan dijangka dapat dimulakan pada tahun depan. Pembangunan itu nanti akan mengambil masa dua setengah tahun untuk disiapkan.

“Penambahan blok baharu itu akan membolehkan pihak hospital menambah katil pesakit hingga 500 unit, kawasan perkhidmatan klinikal, bilik pembedahan serta suite klinik untuk dijual dan disewa kepada doktor,” katanya ditemui selepas Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Regency Specialist Hospital, Gan Boon San dan Pe­ngarah Urusannya, Chin Wei Jia.

Sai Hoong berkata, setakat ini hospital tersebut mempunyai 218 katil dan merancang untuk menggandakan bilangannya bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.

Pada masa sama pihaknya turut merancang menambah bila­ngan doktor pakar bagi memperkasakan lapan bidang perubatan utama di hospital berkenaan.

“Pada masa ini kita mempunyai seramai 43 doktor pakar dalam lapan bidang. Bagi menarik kedatangan pelanggan, kita merancang untuk menambah bilangan doktor, sekali gus memperkuatkan tenaga pakar di sini.

“Keperluan doktor pakar ini penting kerana ada pelanggan yang sanggup datang dari luar negara seperti dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan, sekali gus mempromosikan pelancongan pe­rubatan di negeri ini,” katanya.