Meskipun ada yang berpendapat, kecantikan bukan terletak pada luaran semata-mata, tetapi personaliti juga harus menawan untuk melengkapkan pakej kecantikan seseorang wanita.

Lantaran itu, sebuah spa kecantikan dan kesihatan, Aurarich Beauty Spa di Bukit Gambir, dekat sini bukan sahaja menawarkan rawatan dan perkhidmatan kepada golongan hawa untuk kelihatan cantik, malah secara tidak langsung mengekalkan kesihatan diri.

Diusahakan seorang ibu tunggal, Suraya Sulaiman, 37, lebih lima tahun lalu, spa yang bertapak di Kompleks Pasar Tani Kekal Bukit Gambir itu juga menawarkan harga yang berpatutan sesuai dengan lokasinya selepas diambil alih sejak 2013 daripada pemilik terdahulu selepas beliau empat bulan be­kerja di pusat kecantikan dan kesihatan berkenaan.

“Ketika itu saya masih menge­nali bidang ini kerana tidak memiliki kemahiran berkaitan sehinggalah mengambil alih perniagaan ini baharulah saya mula mendalami selok-belok perniagaan spa dan pada masa sama mengikuti pelbagai kursus. Jika dihitung sudah lebih 10 kursus termasuk facial, make up, urutan Melayu dan pelbagai lagi yang saya ambil secara jangka pendek di Kolej Komuniti Ledang, Muar dan Batu Pahat,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Seperti peniaga lain, bisnes Suraya turut berdepan pasang surut apabila terpaksa menutup salah sebuah cawangan spanya setelah berdepan masalah rumah tangga pada tahun kedua perniagaan.

“Namun, saya tidak mahu menoleh lagi dan berbekalkan cabaran bergelar ibu tunggal serta memikirkan dua orang anak, saya bertekad meneruskan perniagaan ini turut disokong ahli keluarga. Alhamdulillah dalam usia yang masih boleh dikatakan setahun jagung ini, saya sudah ada ramai pelanggan tetap yang akan singgah mendapatkan rawa­tan setiap bulan,” katanya.

Semangat Suraya memang tidak pernah patah apabila kini bakal membuka semula cawa­ngan spa keduanya di Bandar Tangkak yang diberi nama Auraseri Beauty Spa pada bulan depan.

Malah, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan anak jati Kampung Sawah Ring itu juga terbukti apabila Kolej Komuniti sekitar menghantar pelatih mereka menjalani sesi latihan industri selama empat bulan di spanya.

Bercerita mengenai rawatan yang disediakan, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai khidmat seperti skrub badan, lulur, urutan badan, facial, resdung, mandi bunga, bekam dan sauna serta pakej istimewa bagi bakal pengantin yang merangkumi lima rawatan pada harga yang mampu milik.