Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya maklum akan gejala rasuah yang berlaku itu dan akan memberi kerjasama penuh dengan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung jabatan berkenaan.

“Kita tahu amalan melindungi pengusaha lori dalam kalangan penguat kuasa JPJ berlaku, cerita ini sudah lama kita dengar, tapi untuk penguatkuasaan perlukan siasatan rapi dan bukti daripada pihak SPRM.

“Kerajaan tegas dalam usaha untuk membersihkan pentadbiran kerajaan di semua peringkat, sama ada di peringkat menteri Kabinet sehingga ke peringkat penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Stesen FedEx Johor, di Senai, di sini sebentar tadi.

Semalam, 31 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dengan gejala rasuah. - UTUSAN ONLINE