Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu juga perlu kerana ketiadaan wakil rakyat menyebabkan banyak usaha tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya se­perti yang berlaku di Kulai.

“Berbeza dengan Labis yang mempunyai Ahli Parlimen dan wakil rakyat daripada parti yang sama, sekali gus menyaksikan ada wakil di peringkat pusat yang mampu membawa projek naik taraf Jalan Yong Peng-Segamat yang bernilai RM92.5 juta.

“Johor perlu terus menjadi negeri di bawah pemerintahan BN kerana kami kerajaan sedia ada mempunyai matlamat dan hasrat yang jelas menjadikan negeri ini sebagai kuasa ekonomi selatan,” katanya selepas menyampaikan Notis 5A Tanah Pertanian Bekok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azhar Ibrahim.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam lawatan rasminya ke Parlimen Labis turut menghadiri sesi taklimat di Majlis Daerah Labis sebelum melawat ke tapak perkuburan Hindu dan Kristian di Sungai Karas serta tapak penempatan semula penduduk Kampung Veeran dan mengha­diri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Labis di Dewan Persatuan Che Thai Kor, di sini.

“Kerajaan negeri sedang ber­usaha sebaik mungkin untuk membangunkan Johor sebagai sebuah negeri yang mampu memberi keselesaan kepada semua rak­yatnya secara menyeluruh.

“Namun pada masa sama rak­yat harus sedar bahawa kerajaan tidak mampu mengubah nasib selagi mereka tidak mahu ber­ubah kerana kerajaan hanyalah sebagai pemudah cara,” tegasnya.