Bukan sekali, malah beberapa kali anak jati Ayer Baloi, Pontian ini gagal dalam perniagaan termasuk sebagai kontraktor ladang, perusahaan restoran dan peruncitan.

Berkat kesabaran, kecekalan dan semangat yang diberikan oleh empat isterinya, Ahmad Jais nekad menceburi bidang penternakan burung puyuh pula secara kecil-kecilan dengan 600 ekor unggas berkenaan bermula 2001.

“Minat itu timbul kerana ternakan puyuh tidak susah dan pada ketika itu Jabatan Veterinar menggalakkan usahawan menceburi ternakan tersebut. Itu yang saya cuba dengan baka pertama diambil dari Kedah.

“Alhamdulillah, usaha itu terus berkembang dan mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat. Maka, pada 2003 saya ambil keputusan untuk komersialkan produk itu dengan jenama Puyuh Best,” katanya kepada Utusan Malaysia di kilang syarikat Usaha Jaya Puyuh Best di Kampung Kasan, Machap, dekat sini baru-baru ini.

Malah, dengan bantuan Jabatan Veterinar negeri, Ahmad Jais mendapat bekalan baka pu­yuh dan pada masa yang sama belajar ilmu penetasan telur puyuh.

Bagi memastikan perusahaannya terus berkembang, bapa kepada 17 anak hasil pengkongsian hidup dengan empat isteri kemudian membeli mesin pene­tasan terpakai dan kini mampu menghasilkan 350,000 ekor anak pu­yuh setiap bulan.

Sebagai usahawan, beliau tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, antaranya masalah bekalan makanan tidak berkualiti dan harga tinggi sehingga menyebabkan pembesaran anak puyuh terencat.

“Maka, pada 2016 setelah berbincang dengan semua isteri, kami buat keputusan mengusahakan sendiri proses makanan puyuh yang formulanya diolah mengikut keperluan pembesaran puyuh.

“Kami berjaya hasilkan dua jenis makanan, iaitu makanan biasa dan organik bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mementingkan kesihatan. Dengan ini, isu makanan dah selesai. Apabila sudah berjaya hasilkan pu­yuh dalam jumlah yang banyak, timbul pula isu lambakan kerana ramai yang menjadi usahawan puyuh,” katanya.

Justeru, Ahmad Jais tanpa berlengah pada 2013 telah membuat inovasi produk dengan memperkenal puyuh perap dengan enam perisa, iaitu puyuh rempah, percik, sate, lada hitam, ungkep dan sumbat.

Bagi memasarkan produk tersebut, beliau sering menyertai program promosi yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta di pasar tani, pasar lambak dan festival yang dianjurkan.

“Menerusi promosi itu kami menggunakan karavan de­ngan cara membuat demonstrasi menggoreng untuk dirasai oleh pelanggan dan kami turut mempunyai 20 premis untuk jualan terus kepada pelanggan serta melantik 38 ejen usahawan untuk memasarkan produk tersebut.

“Menerusi kaedah itu ejen ha­n­ya perlu keluarkan modal sebanyak RM1,500 untuk pembelian puyuh proses dan kami sediakan peti sejuk beku. Sebagai usahawan, kita tak boleh selesa dengan keada­an sedia ada, maka kena buat penambahbaikan daripada segi pembungkusan dan promosi secara berterusan,” katanya.

Bagi mengendalikan perusahaan tersebut yang mempunyai 11 reban, Ahmad Jais dibantu 10 pekerja tempatan termasuk empat isterinya.

Datuk kepada lima cucu ini memberitahu, isteri pertama, Alimah Paiman, 54, mernguruskan rumah tangga termasuk menjaga anak-anak tiga madunya, isteri kedua, Nor Azizah Md. Tahir, 42, mengendalikan bahagian perladangan, manakala isteri ketiga, Osmak Math, 35, dan isteri keempat, Azizah Ahmad, 26, masing-masing menguruskan bahagian pemperosesan serta pemasaran dan aspek pentadbiran.

Sepanjang penglibatannya dalam industri puyuh, beliau telah mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah, antaranya Ikon Usahawan Daerah Kluang 2016 dan Anugerah Inovasi Produk Puyuh Kebangsaan 2015.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Puyuh Best boleh menghubungi beliau menerusi talian 017-7166846 dan 0177555932 (Osmak).