Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pusat perikanan itu akan memberi kesan besar terhadap sektor perikanan selain menyumbang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sektor perikanan di Johor akan menjadi satu sektor yang bagus, lumayan dan memberi pendapatan yang baik termasuk kepada nelayan. Ini kerana Johor mempunyai kawasan pantai yang luas.

“Hasil-hasil ikan terutama di Mersing yang banyak akan dijadikan produk-produk berasas perikanan sebagai nilai tambah di pusat perikanan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Bayaran Saguhati Nelayan Johor Bahru Selatan di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed; Pengerusi Persatuan Nelayan negeri; Datuk Mohamad Dolmat; Pengarah Perikanan negeri, Zamani Omar dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Lokman Ahmad.

Mohamed Khaled berkata, pusat perikanan itu juga nanti akan berfungsi memenuhi keperluan dan tuntutan pasaran ikan untuk 600 juta penduduk di rantau ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan nelayan di negeri ini masih dikategorikan miskin dan usaha menaik taraf hidup mereka perlu dilakukan menerusi beberapa langkah.

Antaranya, kata Ahli Dewan Un­dangan Negeri (ADUN) Permas itu ialah dengan tidak menjual hasil tangkapan kepada orang tengah atau peraih sebaliknya menjual­nya di pasar ikan yang dikendali­kan nelayan sendiri.

“Dalam hal ini, sebuah koperasi nelayan harus ditubuhkan berperanan mengendalikan pasar ikan tersebut. Ketika ini kita lihat bagaimana nelayan bersusah payah menangkap dan menjual ikan tetapi hasilnya tidak seberapa berbeza dengan harga ikan yang dibayar pelanggan.

“Ini kerana mereka tidak terlibat dengan pemasaran dan penjualan sedangkan mereka yang bekerja kuat. Kalau ada koperasi nelayan mereka juga boleh memikirkan untuk memasarkan ikan di luar kawasan termasuk ke Si­ngapura,” ujarnya.