Antara bangunan yang akan didirikan di tapak berkenaan adalah Pejabat Tanah dan Galian daerah, Pejabat Daerah, infrastruktur dan utiliti awam serta masjid.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mewujudkan pusat pentadbiran baru di sini adalah selari dengan aspek meningkatkan mutu dan tahap perkhidmatan awam di Johor.

“Saya harap dengan sempurnanya pembinaan dan pembangunan pusat pentadbiran baru Kulai ini kelak bukan sahaja akan memberikan satu prasarana dan infrastruktur baharu tetapi menyuntik dan memberi semangat baharu, komitmen baharu dan keyakinan baharu untuk semua kakitangan awam di sini dalam memberikan perkhidmatan lebih baik, berkualiti dan berkesan.

“Kita haruslah menjadikan aspek kesejahteraan masyarakat sebagai keutamaan dalam segenap aspek tadbir urus dan perkara ini menuntut agensi dan jabatan kerajaan untuk menjadi lebih cekap dan berkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Pecah Tanah Pusat Pentadbiran Baru Kulai di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata, bagi membangunkan Kulai pada masa depan, sokongan perkhidmatan yang cekap dan efisien diperlukan dan mutu pentadbiran sedia ada perlu ditingkatkan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Kulai sebagai pusat beli-belah dan tumpuan pelancong dengan memajukan lagi Johor Premium Outlet (JPO) di sini.

“Kulai berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih maju, oleh sebab itu saya selalu mahu pihak-pihak swasta fikirkan apa yang boleh dilakukan lagi di kawasan JPO itu,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja di daerah ini tetapi segala projek pembangunan di Johor akan dipastikan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Saiz masyarakat tempatan kita bukan sahaja semakin bertambah, ini bermakna pertambahan masalah, pertambahan keperluan dan pertambahan isu yang harus diselesaikan de­ngan segera, cekap dan berkesan,” ujarnya.

“Projek pembangunan bercampur-campur dan pemantapan perkhidmatan awam daerah ini akan membantu merancakkan aktiviti ekonomi di sini. Daerah Kulai tidak boleh ketinggalan dan saya tidak akan membiarkan daerah ini ketinggalan,” katanya.