Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pulau itu yang merupakan antara kawasan tanah lembab asli di Asia Tenggara akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya daripada Taman Negara bertukar kepada tanah milik kesultanan.

“Pada masa dahulu beberapa taman negara telah diswastakan tetapi di Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai satu visi yang berbeza.

“Untuk melindungi dengan lebih baik semua taman negara, Sultan Ibrahim mengisytiharkan semua taman negara akan ditukar menjadi tanah kesultanan,” demikian tulisnya menerusi status terbaharunya dalam Twitternya.

Sebelum ini satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu kini mula tersebar dalam laman sosial.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup itu berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3)

Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989). - UTUSAN ONLINE