Bagaimanapun seorang puteri dikatakan jatuh hati dengan seorang pedagang yang singgah di pulau tersebut namun dibantah empat lagi puteri, tetapi puteri berkenaan tetap berkahwin de­ngan pedagang itu.

Akibatnya keempat-empat pu­teri tersebut berpakat mele­nyap­kan TNJPK. Diceritakan apa­bila muncul kembali selang beberapa tahun, pulau tersebut telah ditumbuhi paya bakau dan tidak boleh menjadi penempatan penduduk.

Itu adalah kisah turun-temurun yang disampaikan generasi terdahulu mengenai legenda di pulau tersebut dan masih lagi di­ceritakan kepada golongan muda.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasi, Perbadanan Taman Negara Johor, Khalid Zahrom, mungkin kesan ‘sumpahan’ itu menyebabkan Pulau Kukup kini dikenali sebagai pulau hutan paya bakau yang tidak berpenghuni dan kedua terbesar di dunia.

Beliau memberitahu, pulau yang sama terbesar di dunia ialah Pulau Belerong yang berada di Brunei Darusalam.

Hari ini, TNJPK mendapat pengiktirafan antarabangsa de­ngan Tanah Lembap Berkepen­tingan Antarabangsa (Ramsar) oleh Biro Persidangan Geneva pada 31 Januari 2003.

Jelasnya, TNJPK diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 27 Mac 1997. Dibuka kepada orang ramai pada Julai 2003 sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu bagi daerah ini.

“Sehingga 2016, dianggarkan 259,596 pengunjung telah melawat TNJPK yang dihubungkan dengan perkhidmatan bot dari Pekan Kukup Laut yang mengambil masa 10 hingga 15 minit perjalanan.

“Kadar tambang yang dikenakan RM5 seorang manakala tiket masuk ke pulau tersebut, RM5 bagi warganegara dan RM10 bagi warganegara asing,” katanya ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Khalid, TNJPK berkeluasan 1,147 hektar, keluasan hutan bakau pula seluas 647 hektar manakala dataran berlumpurnya seluas 800 hektar dengan enam anak sungai berada dalamnya.

Pengunjung katanya, boleh me­milih menaiki bot menyusuri Sungai Ular atau berjalan kaki di pelantar kayu sejauh kira-kira 1.7 kilometer (km) bermula dari pintu masuk hingga pelantar Baro­ngan.

Selain Sungai Ular terdapat lima lagi batang sungai di Pulau Kukup iaitu Sungai Merah, Su­ngai Jempul, Sungai Tongkang, Sungai Sedang dan Sungai Solok, ujarnya.

Katanya, terdapat 27 spesies bakau asli yang popular iaitu bakau kurap selain tujuh spesies mamalia, enam spesies reptilia, 23 spesies burung dan 111 spesies ikan selain pelbagai jenis moluska dan krustasea.

“Pelantar pejalan kaki atau board walk telah dinaik taraf oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Wilayah Iskandar (IRDA) pada 2016 menjadikan keseluruhan sejauh 1.7km berbanding 600 meter sebelum ini.

“IRDA juga membina stesen-stesen antaranya dikenali sebagai Terowong Masa, Pavillion, Spiral Mangrove, Interkatif Mudflat dan mercu tanda TNJPK di pintu ma­suk,” katanya.

Tambah Khalid, jangka masa berjalan di pelantar pejalan kaki mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit sekiranya mereka berhenti di setiap stesen melihat pelbagai tumbuhan, flora mahupun siput, ketam, barongan ter­utama ketika air pasang.