Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail berkata, pendekatan 'public-private partnership' itu diyakini mampu menjadikan Muar sebagai salah satu destinasi pilihan utama pelancong ke negeri ini pada masa depan.

Menurutnya, Muar juga merupakan satu-satunya daerah di negeri ini yang mempunyai persatuan pelancongan sendiri yang dikenali sebagai Persatuan Pelancongan Muar (MTA).

“Kekuatan tarikan pelancongan yang berasaskan sejarah dan makanan serta kedudukannya yang bersempadanan dengan Melaka ti­dak mustahil menjadikan Muar desti­nasi pilihan,” katanya pada majlis perasmian Program Fam Trip Pelancongan Muar, baru-baru ini.

Fam Trip yang disertai 200 ahli Persatuan Ejen-ejen Pelanco­ngan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) negeri ini dan Melaka serta Persatuan Penulis Pelanco­ngan Malaysia (TRAM) dirasmikan Pegawai Daerah, On Jabbar serta turut dihadiri Pengerusi MTA, Salehuddin Satar.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, 20 pakej pelancongan ke daerah Muar akan dilancarkan pada tahun ini melibatkan usahasama pihaknya, pejabat daerah dan MTA bagi merancakkan lagi industri berkenaan.

“Program Fam Trip ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong datang, bermalam dan tinggal lebih lama serta berbelanja di negeri ini kerana Johor mempunyai banyak tarikan pelanco­ngan.

“Jadi, saya berharap semua pihak dapat bersama-sama de­ngan Tourism Johor untuk terus mempertingkatkan usaha bagi memperkasakan industri pelancongan negeri kerana kekuatan produk sedia ada dan yang akan dibangunkan dapat memperkukuh lagi kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa,” katanya.