Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika me­ngumumkan perkara itu berkata, projek membina semula jalan tersebut menelan kos RM92.5 juta melibatkan jarak 40 kilome­ter (km), iaitu 35 km di kawasan Parlimen Labis dan lima km di Parlimen Sekijang.

“Walau bagaimanapun, hanya 10 km sahaja yang akan menggunakan teknologi CMA dan loka­sinya masih belum ditentukan, manakala 25 km lagi menggunakan kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR) dan jarak selebihnya iaitu 10 km menggunakan kaedah konvensional.

“Walaupun kos pembinaan ja­lan menggunakan CMA lebih tinggi iaitu RM53 permeter berbanding RM29 jika menggunakan kaedah konvensional, namun kos penyelenggaraannya lebih rendah,” katanya selepas Taklimat Projek Perintis CMA semasa Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan anjuran kementeriannya di Masjid Kampung Desa Temu Jodoh, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Pengarah Kerja Raya negeri, Ir. Mohamad Salleh Abu Bakar.

Fadillah berkata, antara kele­bihan penggunaan CMA adalah mampu memberi rintangan lebih baik terhadap faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan jalan seperti retakan dan aluran oleh kenderaan berat.

“Untuk jangka masa panjang, pembinaan jalan menggunakan CMA ini mungkin lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan tersebut semakin murah pada masa sama berkualiti dan tahan lama.

“Pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) masih dalam peringkat penilaian bagi menentukan kesesuaian turapan jalan menggunakan CMA dan penilai­an akhir projek rintis ini sepatutnya mengambil masa dua ta­hun bagi menentukan keberkesa­nannya,” katanya.

Namun, pasukan penilai bersetuju untuk memendekkan tempoh kajian menjadi satu tahun sahaja, iaitu hingga akhir tahun ini dan antara kriteria yang diambil kira adalah dari segi kos pembinaan, aspek teknikal dan kekuatan campuran asfalt tersebut.

Menurutnya, jalan tersebut yang dijangka dibina pada Julai ini dan dijangka siap awal tahun 2020 dan merupakan jalan yang paling banyak menggunakan CMA di negara ini.

“Sebelum ini kita ada tiga kawasan iaitu di Temerloh, Pahang; Tampin, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah yang menggunakan CMA sebagai kajian dengan skala yang pendek iaitu hanya 500 meter,” katanya sambil mem­beritahu usaha itu juga bagi men­stabilkan harga getah dan menambah baik pembinaan jalan di negara ini.