Ketua projek berkenaan, Prof. Madya Dr. Shahida Sulaiman berkata, program kerjasama an­tara Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kejora itu bertujuan mening­katkan minat dan keyakinan pe­lajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menggunakan teknologi mudah alih.

Beliau berkata, fasa pertama program itu membabitkan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Penawar, SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Mas.

“Pembelajaran menggunakan aplikasi mudah alih ialah hasil kajian selama lima tahun sejak 2012 setelah mendapati masalah capaian internet mengurangkan keberkesanan pembelajaran da­lam talian, khususnya sekolah di luar bandar.

“Fakulti Komputeran UTM mem­­bangunkan modul yang disesuaikan dengan aplikasi pem­belajaran mudah alih untuk membolehkan pelajar me­ngakses aplikasi tanpa perlu bergantung kepada capaian internet,” katanya sempena program berkenaan di SMK Bandar Penawar, Kota Tinggi baru-baru ini.

Majlis perasmian program dan pelancaran buku Kuasai Asas Bahasa Inggeris: Strategi Mudah dan Berteknologi Maklumat di­sempurnakan Pengurus Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa Kejora, Sumini Mohd. Lahir.

Shahida berkata, modul dan aplikasi yang diadaptasi dalam program itu adalah berkaitan dengan kemahiran asas insani­ah abad ke-21 iaitu pemikiran kritis, komunikasi, kerjasama dan kreativiti yang mendorong minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi, terutama teknologi maklumat.