Pengarah JPJ negeri, Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan notis 114 kepada pemilik kenderaan dan pelajar yang didapati melakukan kesalahan.

“Notis ini adalah arahan te­mu siasat dan bukan saman. Na­­mun saya ingatkan mereka yang menerima notis itu agar ti­dak memandang ringan dan mengabaikannya kerana tindakan mengeluarkan saman akan dilakukan kepada mereka yang berdegil.

“Bagi notis pertama, mereka dikendaki untuk hadir di sekolah terlibat untuk proses temu siasat dan nasihat, jika mereka tidak hadir peluang kedua akan diberikan untuk mereka hadir ke pejabat JPJ berdekatan pula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program JPJ Bersama Anda di Pejabat JPJ Cawangan Segamat di sini hari ini.

Katanya, tindakan tegas termasuk mengeluarkan saman akan dilakukan kepada penerima notis 114 yang berdegil dan gagal hadir ke pejabat JPJ bagi proses temu siasat selepas peluang ke­dua diberikan.

Menurutnya, setakat ini hanya tiga sekolah terpilih bagi program tersebut di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, SMK Taman Molek di Johor Bahru dan SMK Tun Perak di Muar.

“Setakat ini, kesalahan yang dikesan dilakukan pelajar di tiga sekolah terbabit adalah melibatkan tiada cukai jalan dan perlin­dungan insuran 54 kes, tiada lesen memandu 56 kes, tidak memakai topi keledar tiga kes dan lain-lain kesalahan 50 kes.

“Bagi jumlah kenderaan yang diperiksa sepanjang program ini melibatkan ketiga-tiga sekolah berkenaan adalah 158 buah kenderaan dan sejumlah 93 notis 114 telah dikeluarkan,” katanya.