Kumpulan pelajar yang memenangi anugerah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, Masai, SMK Seri Kenangan, Batu Anam dan SMK Gemereh, Segamat.

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Soo Kum Yoke berkata, pertandingan anjuran UiTM Cawangan Segamat dan SMK Seri Kenangan itu disertai 10 buah sekolah yang mempertaruhkan 19 produk inovasi.

“Produk ‘Left Over Food Separator’ oleh kumpulan pelajar SMK Kota Puteri 2 adalah alat yang boleh digunakan untuk memudahkan proses mengasingkan sisa makanan dengan pinggan yang telah digunakan.

“Produk ‘He-Co Distractor’ ciptaan pelajar SMK Seri Kena­ngan pula mampu menghalau mahluk perosak seperti tikus dan serangga di rumah berbentuk gel yang diperbuat daripada rempah ratus, serai wangi dan pandan,” katanya ditemui pada program berkenaan.

Menurut Kum Yoke, ciptaan pelajar SMK Gemereh bertajuk ‘Plastile’ pula adalah jubin yang dihasilkan daripada botol plastik yang dikitar semula juga amat berpotensi untuk dikomersialkan.

Justeru, beliau berharap usaha menerapkan budaya mereka cipta dalam kalangan pelajar perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan produk yang dihasilkan mampu memberi manfaat kepada masyarakat selain menjana pendapatan.

Selain sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian, bidang inovasi juga sebahagian daripada harta intelek negara yang menjadi pemangkin, malah elemen utama dalam usaha mencapai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

“Penciptaan dan inovasi dalam semua bidang, terutamanya sains adalah sangat diperlukan untuk menghasilkan lebih banyak produk yang berteknologi tinggi untuk membantu kehidupan manusia.

“Setiap perkara atau masalah dalam kehidupan ini mempunyai penyelesaiannya dengan cara yang lebih inovatif dan kreatif. Produk-produk inovasi yang dihasilkan juga seharusnya dapat membantu memperbaiki kualiti kehidupan dan seterusnya menjana pendapatan,” katanya.