Pengarah PPDNKK negeri, Khairul Anuar Bachok berkata, serbuan pada pukul 12.45 tengahari itu dilakukan berdasarkan hasil intipan selama seminggu ke atas premis terbabit.

Katanya, pihaknya turut menahan seorang pekerja warganegara Libya berusia 33 tahun di premis berkenaan semasa operasi dijalankan.  

“Kita menjalankan intipan dan serbuan itu selepas menerima aduan daripada pengadu yang merupakan pemilik Global Trade Shield bahawa premis berkenaan menjalankan perniagaan online menjual tudung jenama Siti Khadijah disyaki tiruan.

“Dalam operasi yang dijalankan, kita berjaya merampas 422 unit telekung bernilai RM37,980 diletakkan dalam premis terbabit yang dijadikan stor simpanan sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Simpanan PPDNKK Senai di sini sebentar tadi.

Khairul Anuar berkata, pekerja warga asing yang ditahan itu kemudiannya dilepaskan selepas keterangan diambil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011. - UTUSAN ONLINE