Dengan menerapkan konsep lebih santai di perpustakaan, PPAJ bukan sahaja menyediakan bahan bacaan daripada pelbagai genre dan bidang ilmu, tetapi juga mempunyai tarikan lain sesuai untuk seisi keluarga.

Tidak hanya menumpukan kepada bahan bacaan semata-mata, PPAJ turut dilengkapi mini Petrosains, selain menyediakan ruang untuk pengunjung mencetus kreativiti serta idea sejajar usaha menggalakkan masyarakat membaca serta mengunjungi perpustakaan.

Malah, PPAJ bukan sebuah perpustakaan yang terikat de­ngan peraturan ketat seperti di tempat lain kerana pengunjung masih boleh berbual atau berbincang secara terbuka selagi tidak mengganggu yang lain.

Bangunan tiga tingkat PPAJ itu menyediakan lebih 450 ruang tempat duduk yang dibahagikan kepada bacaan ringan, ruang remaja, ruang dewasa dan ruang kanak-kanak dengan lebih 130,000 bahan bacaan serta dilengkapi kemudahan Wi­Fi.

Selain itu, PPAJ turut menyediakan li­ma bilik perbincangan.

Petrosains diwu­jud­kan sejak tahun 2008 dan PPAJ merupakan perpustakaan pertama di negara ini mempunyai pusat mini sains dalam perpustakaan tersebut, malah pelaburan pihak terlibat tidak terhenti di situ kerana PPAJ kini dilengkapi Petrosains Playsmart, Maker Space dan Fun Farming.

Di samping itu, sebuah kafe juga disediakan di bahagian luar yang berkonsepkan kontena dan sedang giat disiapkan, sekali gus ibu bapa tidak perlu bimbang mencari makanan untuk anak mereka serta tidak perlu keluar dari kawasan perpustakaan.

Menurut Pengarah PPAJ, Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, PPAJ sememangnya mahu menyediakan konsep santai kepada pengunjungnya kerana menyedari usaha untuk mengajak masyarakat ke perpustakaan dan membaca merupakan satu cabaran.

Namun, beliau yakin dengan konsep santai, selain dilengkapi aktiviti lebih interaktif, mampu terus mengajak pelbagai lapisan masyarakat ke perpustakaan bukan semata-mata untuk membaca buku tetapi menawarkan perkhidmatan lebih daripada itu.

“PPAJ percaya tanggungja­wab perpustakaan kini berubah dan tidak hanya menjadi sebagai tempat membaca tetapi perlu diperluaskan kepada tempat mencari ilmu pengetahuan, menajamkan fikiran dan menjadi lebih kreatif dengan menggunakan segala bahan dan ilmu yang disediakan di perpustakaan.

“Jadi, ibu bapa kini boleh membawa anak-anak mereka yang gemarkan medium pendidikan berbentuk aktiviti yang lebih santai untuk menarik minat menimba ilmu di PPAJ,” katanya di sini hari ini.