Berbekalkan muzik hits terbaik 90-an, dari tahun 2000 hingga kini selain menyajikan perkembangan semasa, hiburan sensasi, berita terkini, pengisian informasi, kandungan berjenama dan pembangunan komuniti - itu adalah formula kolaborasi kejayaan Best FM!

Stesen radio itu sudah wujud sejak lebih dua dekad lalu bermula pada 1996, Best FM popular dan tidak asing lagi dalam kalangan penggemar radio. Sentiasa menemani dan didedikasikan kepada golongan pendengar yang berumur 25 tahun dan ke atas.

Best FM menjadikan stimulasi deria pendengaran sebagai satu platform merapatkan jurang genre muzik terbaik dan terkini dengan mempelbagaikan variasi dan seleksi, lagu tempatan serta antarabangsa dari zaman 90-an hingga sekarang.

Pelbagai segmen program di ruang udara Best FM disajikan untuk menepati setiap cita rasa dan gaya hidup kumpulan sasar pendengar serta sentiasa diberikan sentuhan baharu.

Terkini mereka melamar penyanyi yang popular pada era 90-an, Meyanaliza Ruslee atau Maya Matahari yang kini mahu dikenali sebagai Mya Ruslee sebagai Penyampai Radio Selebriti Best FM baharu bermula pada 18 Februari lalu.

Selain itu bagi memastikan­nya terus 'melekat' di halwa pendengaran, stesen radio tersebut menampil beberapa segmen rancangan baharu untuk tatapan pendengar pada tahun ini selain sudah mengatur siri jelajah Pentas Best FM.

Siri jelajah itu akan ke bandar-bandar besar di selatan tanah air Johor dan Melaka pada April ini untuk membolehkan mereka bertemu pendengar-pendengar­ setia Best FM dengan lebih dekat diikuti program-program yang menarik dan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusry Abu Samah berkata, dari­pada segi hala tuju tahun ini, pihaknya mahu mendekati pendengar dan cuba menaikkan ra­ting stesen.

“Kita lebih menjurus kepada kawasan selatan dan tengah. Daripada segi peringkat umur pendengar, kita ada sasaran tersendiri iaitu dari 25 hingga 45 tahun,” katanya dalam sidang akhbar Best FM 2019 dan Seminar Best Radio Ads di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Kewangan Best FM, Saidatina Hadijah Abdullah; Penolong Pengurus Pentadbiran Best FM, Wan Mohd. Noor Wan Mohamed dan Pengurus Rancangan Best FM, Azhar Mohd. Esa.

Menurut beliau, Best FM kini semakin menampakkan kejayaannya dan mendapat tempat di hati pende­ngar malah merupakan nombor dua tertinggi di Malaysia daripada segi jumlah masa mendengar paling lama dalam kalangan radio berbahasa Melayu.