Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, peranan tersebut harus diberi penekanan bagi memastikan sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan secara harmoni.

“Seperti kes Cikgu Azizan Ma­nap baru-baru ini, saya percaya kes itu dapat diselesaikan se­baiknya sekiranya ada pihak ketiga yang menjadi orang tengah dan dalam kes sebegini saya fikir PIBG perlu memainkan peranan mereka.

“Kita tidak mahu cakap ia adalah salah ibu bapa atau guru itu, tetapi sekiranya kes itu dapat diselesaikan secara harmoni tanpa diheret ke mahkamah adalah lebih baik,” katanya selepas merasmikan program Kembali ke Sekolah 2018 anjuran Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Biz [email protected] di sini semalam.

Seramai 355 murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan dalam Parlimen Tebrau dan Pasir Gudang meneri­ma bantuan persekolahan daripada GM1M Daerah Pasir Gudang dan Naib Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Roshawal Nizam Abdul Ghafar.

Abdul Halim berkata, Kementerian Pendidikan perlu memberi kelonggaran dalam menjatuhkan hukuman yang bersesuaian terhadap pelajar yang melanggar peraturan sekolah, namun pada masa sama hukuman tersebut tidaklah boleh sehingga mencede­rakan pelajar.

Mahkamah Majistret Se­remban pada 19 Disember lalu melepas tanpa membebaskan Azizan atas pertu­duhan mencederakan seorang muridnya pada Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai berusia 44 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada pukul 7 pagi, 6 April lalu.