Pegawai Pertanian daerah, Nur Aziat Abd. Razak berkata, program itu melibatkan 45 peserta yang mengusahakan tanaman pertanian mahupun projek industri kecil dan sederhana (IKS).

“Bagi projek tanaman sayur-sayuran, kaedah penggunaan teknologi fertigasi menjadi pilihan 12 peserta yang mengusahakan tanaman cili centil dan cili sakata dengan kos RM100,000.

“Seramai 33 usahawan IKS men­jalankan kegiatan antaranya memproses makanan ringan, makanan sejuk beku, tempe, kimpalan, ternakan ayam kampung, kambing dan sate,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyam­paian program Pertanian Rakyat dan Sijil PGU Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut dan Pulai Sebatang di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad, ADUN Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dan Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah.

Nur Aziat berkata, menerusi dana tersebut diharapkan dapat menambah pengeluaran pengusaha IKS dengan adanya bantuan peralatan mahupun bagi meluaskan pasaran tempatan.

Sehubungan itu beliau berharap penerima bantuan itu dapat menggunakan peluang dan kesempatan yang diberikan kerajaan bersama-sama menjana kegia­tan ekonomi untuk negara.

Katanya, program tanaman pertanian berjaya menambah pengeluaran sayur-sayuran bagi pasaran tempatan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan bekalan dari luar negara.

Dalam pada itu katanya, bagi membantu pekebun kecil, jabatan pertanian menganjurkan Program Pertanian Rakyat yang memberikan tumpuan kepada tanaman seperti durian Musang King, limau kasturi, durian Belanda dan kelapa matag.

Menurutnya, sejumlah 465 anak benih tanaman tersebut diagihkan kepada pekebun kecil supaya dapat menambah pengeluaran buah-buahan yang semakin menerima sambutan baik di pasaran.

“Jabatan pertanian sedia memberi khidmat nasihat dan panduan kepada pengusah IKS mahupun tanaman pertanian supaya mereka berjaya melaksanakan program dengan berkesan,” ujarnya.