Bantuan tersebut berupa baja, anak benih dan peralatan pertanian untuk membantu usahawan tani serta petani mengusahakan projek pertanian untuk menambah pendapatan mereka.

Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Nor Akmal Abdullah berkata, peruntukan yang disampaikan dalam bentuk peralatan dan penyelenggaraan infrastruktur bertujuan menggalakkan usahawan-usahawan ini mening­katkan penghasilan dan kualiti produk masing-masing.

“Selain PGU, pelbagai insentif lain disediakan kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian di daerah ini selari hasrat kerajaan negeri menjadikan Segamat sebagai sebuah hab pertanian serta pengeluar makanan utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Bahan Tanaman dan Peralatan Program Pertanian Rakyat Pering­kat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap di Kompleks Penghulu Buloh Kasap di sini kelmarin.

Menurutnya, kajian dilakukan menunjukkan rata-rata pene­rima bantuan PGU di daerah ini masih meneruskan usaha mereka dan sebahagian besar berjaya mengembangkan projek yang dijalankan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan penerima bantuan PGU agar memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diterima untuk meningkatkan produktiviti projek diusahakan bagi memastikan usaha kerajaan membantu mereka tidak sia-sia.

“Kerajaan tidak meminta penerima membayar balik bantuan yang diberikan, tapi itu tidak bermakna penerima boleh bersikap sambil lewa atau menggunakan bantuan tersebut bagi tujuan lain atau keuntungan mudah dengan menjual peralatan yang diterima.

“Sebaliknya apa yang kerajaan mahukan adalah peningkatan pengeluaran daripada projek yang dijalankan yang mana akhirnya akan memberi keuntungan kepada penerima itu sendiri sekali gus dapat meran­cakkan ekonomi negara,” katanya.