Seorang peserta, Abid Alim Angsharuddin, 16, berkata, dia pernah menyertai program anjuran JCorp itu pada tahun lalu dan pada kali ini turut berjaya mengulangi pencapaian meraih tempat pertama katogeri seni khat jawi.

“Program ini bukan sahaja mem­beri peluang kepada kami mendalami tulisan jawi, malah sebagai platform untuk mengasah bakat serta berpeluang bertemu rakan-rakan lain dan bertukar ilmu terutamanya mengenai teknik tulisan khat jawi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat ini mula berminati tulisan khat jawi sejak dibangku sekolah rendah lagi dan terus mengasah bakat dalam bidang tersebut selepas mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru di SMKA Segamat.

Siti Zaharah Johari, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Dalam pula menyifatkan program tersebut mampu me­lonjakkan pengunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat.

“Bagi memastikan tulisan jawi mampu bertahan, saya turut membuat catatan untuk beberapa mata pelajaram menggunakan tulisan ini terutamanya bagi subjek Pendidikan Islam,” katanya.

Rakannya, Nurul Izza Mohd. Rafi, 16, turut mengakui program tersebut yang dijalankan secara santai memberi pengalaman berbeza kepada peserta berbanding belajar di dalam bilik darjah yang disifatkannya lebih formal.

“Walaupun pada zahirnya program ini sebagai pertandingan, namun disebabkan dijalankan dalam suasana santai kami turut dapat belajar, sekali gus me­ningkatkan pengetahuan dalam tulisan jawi,” katanya sambil berharap program itu dapat dianjurkan dengan lebih kerap.