Menerusi syarikat T’fa Green Enterprise, Raja Latifah, 57, yang terlibat dalam perusahaan tersebut sejak 2001 menjadikan kuih bakar yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat di negeri ini sebagai pengenalan perniagaannya.

Bagi mengembangkan perniagaan beliau mengusahakan pulut serunding, cara berlauk, kasui, onde-onde, cucur badak, apam beras, wajik, pulut kuning, kole kacang, seri muka dan ubi rebus yang dipadankan dengan ikan kering goreng, sambal tumis serta sambal hijau.

Kejayaan yang dikecapi wanita berhati waja itu membuktikannya mampu bersaing dengan pengusaha kuih moden apabila berjaya memiliki empat ketuhar besar bagi mengusahakan pelbagai kuih tradisional terutama kuih bakar yang menjadi ikon perusahaan beliau.

Menyorot penglibatannya da­lam perniagaan yang dibina 16 tahun lalu, Raja Latifah memberitahu: “Saya memang minat dalam bidang masakan terutama kuih-muih yang menjadi kegemaran orang dulu-dulu yang kian pupus.

“Bermula tahun 2001 saya ambil keputusan mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM500 sebagai modal permulaan bagi pembelian bahan mentah termasuk kos beli ketuhar berharga RM150 untuk memanggang kuih bakar.

“Hasrat untuk mengusahakan perusahaan tersebut juga didorong untuk menambah sumber pendapatan keluarga bagi menyara lima anak yang masih bersekolah. Suami ketika itu bekerja dengan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Tani Jalan Datin Halimah, Larkin di sini baru-baru ini.

Tapak pasar tani tersebut menjadi platform utama Raja Latifah memula dan mengembangkan perniagaan hingga dikenali ramai bukan sahaja masyarakat setempat malah warga Singapura.

Katanya, pada peringkat awal dengan menggunakan ketuhar kecil hanya mampu membuat kira-kira 20 biji kuih bakar sehari di samping kuih kasui dan pulut serunding bagi memenuhi tempahan kenalan dan penggemar kuih tersebut.

Penulis akui kelazatan kuih hasil air tangan nenek kepada dua cucu ini kerana mempunyai keistimewaan tersendiri. Setiap kuih yang diadun berasaskan bahan-bahan terpilih membuatkan sesiapa yang merasainya akan kembali membelinya.

“Memang menjadi prinsip dan niat awal saya, bila jual makanan atau kuih muih saya pastikan rasanya sesedap macam mana kita buat untuk makan sendiri.

“Apa yang saya lakukan adalah bersandarkan bab muamalat (jual beli) selari dengan sabda Rasullulah SAW sembilan persepuluh sumber rezeki daripada perniagaan yang mendapat pulangan berbaloi di samping mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.

Berikutan sambutan menggalakkan dan perniagaannya mampu berkembang lebih jauh, pada 2004 suaminya, Abdul Aziz Idris, 63, membeli satu ketuhar besar berharga RM10,000 yang mampu membakar sebanyak 20 biji kuih bakar dalam masa sejam.

Jelas Raja Latifah, keupayaan ketuhar tersebut mampu menghasilkan kira-kira 100 hingga 150 biji kuih itu sehari dan pengeluaran bergantung kepada permintaan.

Beliau yang dibantu suaminya selaku Pengurus Pentadbiran dan Kewangan berkata, kini perniagaannya terus berkembang dengan mengusahakan katering untuk majlis keramaian, perkahwinan, kenduri-kendara terma­suk jamuan anjuran jabatan serta agensi kerajaan.

“Hasil keuntungan jualan kuih dan katering kami jadikan modal untuk membeli aset termasuk empat ketuhar besar, sebuah karavan, sebuah rumah khusus untuk mengusahakan perusahaan kuih dan pelbagai peralatan serta kelengkapan untuk perusahaan kuih serta katering.

“Di sini saya ingin kongsi bahawa saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan sebarang institusi kewangan, agensi atau jabatan kerajaan yang berkaitan. Ada keuntungan kita jadikan modal untuk beli aset,” katanya.

Raja Latifah beruntung kerana selain suami turut dibantu anak-anaknya terutama anak sulung, Kharimatun Nisa yang menjual kuih-kuih tersebut bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap Sabtu dan Ahad di Pasar Tani Jalan Datin Halimah dan Pasar Tani Bandar Baru Uda.

Menerusi dua lokasi pasar tersebut beliau mampu menjual kira-kira 200 biji kuih bakar berperisa asli, keladi, pandan, keledek dan labu selain 1,000 unit pulut serunding, 1,000 unit kasui dan pelbagai jenis kuih lagi.

Menurutnya, satu lagi jenis makanan eksotika yang amat digemari pelanggannya tanpa me­ngenal usia ialah ubi rebus. Setiap hari pihaknya merebus kira-kira 150 kilogram ubi.

Menerusi hasil jualan kuih itu beliau dan suaminya berjaya mendidik dan menampung pengajian kelima-lima anaknya di univeristi hingga berjaya tanpa meminta meminta bantuan mana-mana.

Menyentuh perancangan masa depan, bagi memastikan perusahaan warisan yang dibina hampir 20 tahun itu tidak berkubur, pihaknya dalam proses mewariskan perniagaan tersebut kepada anak sulungnya, Kharimatun Nisa, 33, yang berkelulusan Diploma Teknologi Maklumat.

Ini kerana katanya, Kharimatun Nisa menunjukkan minat dan sebagai persediaan pihaknya menurunkan resepi, ilmu, pengurusan dan perkara yang berkaitan per­usahaan tersebut kepada anaknya itu.