Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu, Zamri Abas, 44, berkata, penduduk kampung tersebut akan mendirikan pondok menggunakan kayu hutan di kawasan bukit seawal bulan Oktober setiap tahun sebagai persiapan jika banjir.

“Ada antara mereka yang sudah meletakkan barangan keperluan di pondok tersebut lebih awal sebaik musim hujan tiba bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut ketika berpindah.

‘Ini kerana kita tidak dapat menjangka bila waktunya air akan melimpah sama ada berlaku pada tengah malam atau awal pagi ditambah selalunya paras air meningkat dengan cepat,” kata­nya di sini semalam.

Menurut beliau, penduduk biasanya lebih selesa berpindah ke khemah atau pondok untuk tinggal dengan keluarga berbanding tinggal di pusat pemindahan sementara ketika berlaku banjir.

Menurutnya, antara sebab me­reka tidak selesa berada di pusat pemindahan adalah disebabkan balai raya tersebut hanya mampu memuatkan dua hingga tiga keluarga berbanding lebih 15 keluarga yang selalunya terjejas ketika banjir.

Sementara itu, seorang penduduk, Dayah Kuna, 62, dan suami, Abas Hassan, 66, serta cucunya, Eng Yow Yong berusia empat tahun mengambil langkah awal menumpang di rumah seorang anaknya di kawasan lebih tinggi selepas hujan turun terus-menerus sejak beberapa hari lalu.

Dia bimbang keselamatan cucunya yang masih kecil dan keadaan mereka yang sudah uzur jika air naik secara tiba-tiba pada waktu malam seperti yang berlaku beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, dia juga sudah meletakkan perkakas rumah seperti barangan elektrik di tempat yang tinggi selain membawa sekali dokumen penting setiap kali meninggalkan rumah.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Segamat, Mohd. Yazid Beram berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan kampung-kampung yang berisiko dilanda banjir setiap kali tiba musim tengkujuh.

Katanya, di daerah ini terdapat dua kampung Orang Asli iaitu Kampung Puting, Kampung Segamat Kecil yang sering dilanda banjir sementara Kampung Juaseh pula akan terputus hubungan jika berlaku banjir.

“Apa yang kami lakukan, selain melakukan lawatan kami akan menubuhkan jawatankuasa banjir di kampung terbabit lebih awal bagi mendapatkan perkembangan situasi semasa di sam­ping mampu menggerakkan jawatan­kuasa tersebut dengan segera jika berlaku banjir,” katanya.