Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sharuddin Jamal berkata, projek tanaman jagung bijirin seluas 50 hektar yang diusahakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bakri di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Chemplak merupakan projek perintis bagi mengumpul segala data berkaitan tanaman tersebut.

“Setakat ini belum ada pihak yang mengusahakan tanaman ini secara komersial di Johor dan kerajaan negeri berharap ianya dapat diperluaskan pada masa akan datang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import dari negara luar.

“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan Pusat yang mahu potensi kekayaan baharu dalam bidang pertanian dibangunkan secara meluas bagi menjimatkan kos mengimport sumber makanan terutama makanan ternakan dari negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat projek tanaman jagung bijirin yang turut disertai oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Mazlan Aliman di ZPM Chemplak, di sini hari ini.

Katanya, selain tanaman jagung bijirin, kerajaan negeri sudah mengenal pasti potensi tanaman lain seperti kelapa serta bidang akuakultur sebagai sumber kekayaan baharu berikutan permintaan yang tinggi terhadap produk tersebut.

Menurutnya, data dikumpul melalui projek tersebut yang juga merupakan projek perintis akan digunakan bagi menentukan potensi serta permasalahan yang mungkin dihadapi pengusaha tanaman itu sebelum sebarang keputusan memperluaskannya dibuat.