ABD. MUTALIP ABD. RAHIM

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, usaha memperluaskan pendekatan kaunseling Islam itu kini bukan sahaja kepada golongan agama tetapi turut melibatkan profesional muslim.

Menurutnya, dengan usaha itu, ia antara lain diharap dapat membantu kerajaan membangunkan modal insan mengikut acuan agama dan pada masa sama perkara yang boleh mendatangkan pelbagai masalah dapat dielakkan.

“Masalah kesihatan mental me­rupakan antara kes kaunseling tertinggi yang kita terima. Sebagai contoh, apabila stres, kita tidak dapat berkongsi masalah dan takut untuk tampil ke depan, ia membuat masalah itu bermain dalam benak fikiran sehingga menyebabkan kemurungan dan lepas itu mula menyumbang kepada masalah lain.

“Sebab itu, kaunse­ling Islam akan berbalik kepada macam mana cara Islam menangani pelbagai isu. Kita tidak menafikan kaunseling cara barat tetapi Islam ada formula dan cara tersendiri bagi menangani permasalahan seum­pama itu.

“Macam mana kita nak rawat jiwa, cari ketenangan, kadang-kadang isu macam itu bila kita lalai dan tidak mengingati Allah SWT, mulalah jiwa tidak tenteram...orang kata jiwa kacau dan dari situ pelbagai perkara boleh berlaku,” katanya selepas merasmikan Sim­posium Kaunseling Islam di sini kelmarin.

Tambahnya, kaunseling Islam itu merupakan proses memberi bantuan secara fizikal dan spiritual oleh ka­un­selor syarie atau pe­gawai khidmat na­sihat kepada yang ber­­hadapan konflik hidup menerusi pelbagai kaedah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Sementara itu, mengulas berhubung program itu, beliau berkata, tujuannya diadakan untuk memperluaskan pengalaman tersebut sebagai satu pendekatan utama dalam apa juga per­khidmatan sokongan serta bantuan kepada yang memerlukan.