Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, kerjasama rapat pihak sekolah dengan ibu bapa amat penting dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.

“Pihak sekolah harus bersedia menerima apa jua bentuk sumbangan yang dihulurkan oleh golongan ibu bapa termasuk buah fikiran dan tenaga, manakala ibu bapa pula tidak harus meletakkan tanggungjawab melahirkan pelajar cemerlang kepada pihak sekolah sahaja.

“Pihak sekolah dan ibu bapa harus saling melengkapi dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan landasan terbaik dalam menjalin kerjasama erat dalam kalangan mereka,” katanya semasa merasmikan Kem Smart Literasi dan Numerasi (Linus) peringkat daerah di Pusat Kokurikulum Johor Cawangan Segamat, di sini semalam.

Beliau turut mengakui terda­pat segelintir ibu bapa yang ha­nya mementingkan pencapaian anak mereka, namun tidak mahu menyum­bang terhadap usaha me­ningkatkan kecemerlangan pelajar lain.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Pendidikan Khas Segamat, Masnawi Shamsuddin berkata, seramai 56 murid tahap satu dari 27 sekolah rendah di daerah ini terlibat dalam kem tersebut.

Peserta merupakan murid yang mengalami masalah 3M ia­itu membaca, menulis dan me­ngira serta kem itu dianjurkan bagi membantu mereka menonjolkan potensi diri dalam aktiviti berbentuk gabungan kokurikulum dan kurikulum.

“Saya yakin masalah untuk menguasai kemahiran 3M ini dapat diatasi sekiranya penglibatan ibu bapa berada pada tahap maksimum dan tidak mengharapkan guru semata-mata,” katanya.