Apa tidaknya, akibat penagihan dadah seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk mencuri, merompak serta membunuh untuk mendapat wang bagi membeli dadah demi melepaskan gian dan menyedari ancamannya merentasi sempadan negara, kerajaan negeri ini bersedia menjalin hubungan lebih erat untuk menangani jenayah penyeludupan serta pengedaran dadah dengan pihak pemerintah Kepulauan Riau, Indonesia.

Baru-baru ini, Persatuan Men­cegah Dadah Malaysia (Pema­dam) dan Agensi Anti Dadah Ke­bangsaan (AADK) negeri ini mengunjungi dan mengadakan dialog dengan pihak pemerintah Kepulauan Riau di Pulau Batam untuk berkongsi pengalaman bagi membanteras penyeludupan dadah serta kaedah rawatan terbaik memulihkan golongan penagih.

Nyata hasil dialog dan kunju­ngan termasuk ke pusat pemulihan dan penjara yang menempatkan pesalah dadah memberikan hasil yang baik bagi kedua-dua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat yang mengetuai rombongan itu berkata, kerjasama antara kerajaan negeri de­ngan pemerintah Kepulauan Riau amat penting untuk menangani jenayah penyeludupan dadah secara bersama.

“Penyalahgunaan dadah pada hari ini bukan hanya melibatkan dadah tradisional, malah dadah sintetik. Dan masalah ini melibatkan generasi muda, iaitu pemim­pin pada masa depan. Jadi, dialog ini cukup penting kerana Johor dan Kepulauan Riau ini bersempadan melalui perbatasan lautan. Kita mahu bersama-sama dengan pemerintah Kepulaun Riau berbincang dan bersatu untuk bertindak balas mengatasi masalah dadah serantau,” kata­nya.

Yang turut hadir, wakil Gabe­nur Provinsi Kepulauan Riau, Drs. Raja Ariza; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor, Haris Nugroho serta Pengarah AADK Johor, Sidek Jaafar.

Ayub yang juga Penyelaras Pemadam negeri ini berharap perjumpaan itu bukan yang pertama dan terakhir serta turut mencadangkan supaya semua pihak yang berkaitan seperti polis dan AADK dapat mengadakan perbincangan lanjut dengan agensi yang terlibat di Kepulauan Riau selepas ini.

“Kita akan terus mengadakan perbincangan dengan niat untuk memastikan generasi muda di Johor dan Batam dapat diselamatkan daripada terjerumus dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pertukaran klien AADK dengan Badan Narkotika Nasional (BNN), Indonesia yang telah pulih dan berjaya dalam kehidupan ma­sing-masing supaya dapat menjadi panduan dan contoh kepada penagih lain.

“Saya berharap AADK negeri dan BNN dapat berbincang lanjut serta program pertukaran ini dapat dilakukan dengan segera selepas semua prosedurnya dipatuhi,” katanya sambil berharap kedua-dua pihak dapat belajar dan berkongsi ilmu serta kaedah rawatan terbaik, khususnya bagi memulihkan para penagih.

Sementara itu, Raja Ariza yang juga Asisten Pemerintah Umum dan Kesejahteraan Rakyat Kepulauan Riau memaklumkan bahawa pemerintah Indonesia turut mengisytiharkan perang terhadap dadah dalam memastikan rakyatnya hidup sihat dan bebas daripada penagihan.