JOHOR BAHRU 6 Nov. – Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Pembersihan dan Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Johor (Perkon Johor) membidas kenyataan Presiden Gabungan Perkon supaya pengiraan inventori baharu diperhalusi semula kerana didakwa menjejaskan ahli persatuan.
Yang Dipertua Perkon Johor, Noordin A. Latif berkata, kenyataan Datuk Nazari Adzim baru-baru ini bercanggah dengan persetujuan yang telah dicapai pada 16 Mei tahun lalu.
“Isu bayaran mengikut inventori baharu yang beliau minta supaya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) batalkan sepatutnya tidak timbul.
“Ini kerana penguatkuasaan dan pelarasan data inventori tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, SWCorp, konsesi dan semua Perkon negeri,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Nazari dalam kenyataannya pada 18 Oktober lalu mendesak pengiraan inventori baharu diperhalusi supaya masalah harga kontrak yang jatuh melebihi 50 peratus daripada kontrak asal dapat diatasi.
Noordin berkata, isu mengenai pengiraan inventori baharu tersebut hanya dihadapi di Melaka, namun tidak menjejaskan ahli persatuan di negeri lain.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau dan kenyataan tersebut tidak mencerminkan pandangan dan pendirian ahli-ahli Gabungan Perkon yang lain.
“Justeru, Perkon Johor telah mengambil langkah keluar daripada ahli Gabungan Perkon berkuat kuasa pada 23 Oktober lalu dan tindakan tersebut turut disusuli Perkon Pahang dan Perkon Wilayah Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan Nazari pada Persidangan Agung Tahunan (AGM) Kelima Gabungan Perkon pada 8 Oktober lalu yang didakwa meragukan memandangkan terdapat perwakilan yang diragui keanggotaannya.