Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebelum ini rawatan pergigian di HDS yang bermula pada 2008 hanya menerima lawatan pakar dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

“Pada Julai tahun ini, seorang pakar bedah mulut dan maksilofasial serta seorang lagi pakar pergigian pediatrik untuk kanak-kanak ditempatkan secara tetap di HDS bagi memastikan perkhid­matan pergigian terbaik kepada penduduk daerah ini.

“Selain itu, seramai 17 kakita­ngan termasuk dua pakar pergigian dan 15 pegawai pergigian sudah ditempatkan secara tetap di HDS,” katanya berucap merasmikan Hari Terbuka HDS 2017 di Dewan Perdana HDS di sini semalam.

Menurutnya, hospital ini juga mula menyediakan perkhid­ma­tan pesakit luar pergigian pada 2014 dan hingga kini sudah memberikan rawatan pergigian kepada 10,539 pesakit.

Dalam pada itu Ayub berkata, tindakan PAN Labis yang membawa isu kuarters guru terbiar di Jalan Tenang-Labis dan Kampung Tenang merupakan isu lama kerana kediaman itu telah terbiar hampir 10 tahun tanpa penyelenggaraan.

Katanya, masalah itu sudah disuarakan wakil rakyat kawasan tersebut menerusi beberapa perbincangan sebelum ini dan pada masa sama sedang mencari jalan penyelesaian lain.

“Kuarters ini pada awalnya dibina atas permintaan guru-guru baharu di kawasan tersebut namun pemotongan elaun Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun sara hidup (Cola) antara punca guru di kawasan tersebut tidak berminat tinggal di kuarters itu.

“Kerajaan sediakan kemudahan ini kerana terdapat keluhan da­ripada guru-guru yang me­ngalami kesukaran untuk mendapat rumah sewa selain kuarters ini dibina secara berpakej,” katanya.